Thursday, March 31, 2011

..:: Doa Rabitah (Peneguh Tautan Hati) ::..

Maksud Doa Rabitah :Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini…

(Sifat-sifat Hati)

  • berkumpul kerana mengasihiMu,
  • bertemu kerana mematuhi perintahMu,
  • bersatu memikul beban dakwahMu,
  • hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu..


(Didikan Hati)

  • maka eratkanlah ikatannya,
  • kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
  • tunjukkanlah kepada hati-hati ini jalannya yang sebenar..

(Bekalan Hati)

  • penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung padam,
  • lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman,
  • dan keyakinan serta keindahan tawakkal kepadaMu;

(Amalan Hati)

  • suburkanlah hati-hati ini dengan pengetahuanMu yang hakiki,
  • jika Engkau takdirkan kami mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dah sebaik-baik penolong.perkenankan lah permintaan ini Ya Allah.Ameen Ya Rabbal A'alamin..

Ya Allah, restuilah junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda semuanya. Juga berikanlah kesejahteraan kepada mereka sebanyak-banyaknya.

p/s: Amalkan lah doa ini..smoga kita diklgan org2 yg dbwh nauganNya sntiasa..

Wednesday, March 30, 2011

Tunangan Halalmu Hanya Selepas Nikah!


Pertunangan bermaksud perjanjian yang dibuat oleh pasangan untuk melangsungkan perkahwinan. Ia adalah satu sunnah yang dituntut dalam Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda Aisyah Binti Abu Bakar dan Hafsah Binti Umar. Dengan berlangsungnya ikatan pertunangan tersebut, maka tergalaslah sebuah komitmen yang tidak rasmi pada diri seorang lelaki dan wanita yang belum berkahwin untuk mengenal hati budi masing-masing.

Islam membenarkan pertunangan sebagai cara untuk pasangan yang ingin berkahwin mengenali bakal isteri dan suami termasuklah ahli keluarga mereka sama ada dari segi fizikal dan mentaliti. Jadi sudah tidak hairan lagi pada kita jika ramai pasangan yang bercinta pada hari ini melangsungkan pertunangan sebelum mereka berganjak ke gerbang perkahwinan. Tapi silapnya pada masa kini, fitrah pertunangan ini sudah menjadi fitnah.

Konsep Pertunangan

Menurut konsep pertunangan dalam Islam yang sebenarnya, sesebuah pasangan perlu bertunang terlebih dahulu sebelum berkenalan dengan lebih rapat dengan pilihan hati mereka. Ia tidak lain adalah untuk menjaga kesucian sebuah perhubungan agar diredhai oleh Allah. Namun, yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Selepas berkenalan dengan pasangan masing-masing dan berpuas hati dengan sikap, perangai dan tingkah laku barulah mereka mengikat tali pertunangan. Ia sekadar menjadi petanda seseorang itu sudah mempunyai pemilik.

Bertunang tiada bezanya dengan bercinta. Ramai yang tersalah tafsir dengan adanya ikatan pertunangan, maka mereka mempunyai lesen untuk berdua-duaan, berpegang-pegangan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Sememangnya dalam tempoh bertunang pasangan dibenarkan untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang diri pasangan dan pada waktu inilah mereka perlu memanfaatkan masa yang ada untuk berkenalan tetapi kita perlu ingat, jangan sampai ia melanggar syariat yang digariskan oleh Islam.

Jauhi Perkara Zina

Kebanyakan umat Islam hari ini menganggap penzinaan itu adalah semata-mata melakukan persetubuhan haram. Sebenarnya, bukan perbuatan zina itu sahaja yang dilarang keras tetapi kelakuan dan tindak tanduk yang mendorong berlakunya perbuatan tersebut. Maksud perkataaan zina itu luas yang mana meliputi semua aspek perlakuan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Zina kedua-dua mata itu memandang perempuan yang ajnabi, zina kedua-dua telinga itu mendengar, zina kedua-dua tangan itu menyentuh, zina kedua-dua kaki itu melangkah dan zina hati itu mengingini dan menangan-angankannya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Jelaslah kepada kita semua perlakuan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang sudah akil baligh dan bukan mahram termasuklah yang sudah bertunang atau tidak, melainkan yang sudah berkahwin adalah dikira zina. Ia adalah perkara-perkara yang membuka peluang dan menimbulkan dorongan sekali gus memberi laluan mudah kepada pasangan bertunang untuk melakukan permulaan zina. Ini kerana, mereka telah meletakkan diri mereka berdua-duaan di suatu tempat dan seterusnya mendorong melakukan kemuncak kepada perbuatan yang terkutuk. Apabila berdua, maka akan ada yang ketiga.

Rasulullah SAW telah bersabda, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Ramai Bersubahat

Larangan berdua-duaan dan perlakuan yang membawa kepada perbuatan zina itu bukan sahaja ditujukan kepada pasangan yang bertunang sahaja tetapi termasuklah orang-orang sekeliling yang turut terbabit atau bersubahat. Ramai antara kita yang tidak sedar bahawa mereka secara tidak langsung terlibat dengan perlakuan yang hampir kepada zina. Contohnya dalam kalangan ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak teruna dan gadis mereka keluar berdua-duaan. Kononnya, ibu bapa yang 'sporting' dan memberi kebebasan serta kepercayaan kepada anak-anak mereka.

Kerana ceteknya ilmu agama dan terpengaruh dengan amalan dan budaya sosial Barat yang moden dan terkini, mereka tidak mahu dipandang kolot dan dan dilihat alim. Ramai yang menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah perkara biasa dan sudah menjadi tradisi malah selari dengan zaman moden sekarang ini. Tambahan pula, ada ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak berdua-duaan dengan tunang dan kekasih mereka kerana mengingatkan manisnya zaman percintaan mereka semasa muda dahulu dan ingin anak-anak mereka merasai nikmat alam percintaan sebagaimana mereka dahulu.

Bertunang Bukan Tiket Buat Maksiat

Fenomena keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan muda mudi sekarang khususnya yang beragama Islam boleh menyebabkan merebaknya kelahiran anak luar nikah dan sebagainya. Itu adalah antara bukti-bukti penerimaan ibu bapa dan masyarakat sekeliling kepada aktiviti berdua-duaan pada pasangan bertunang. Jangan biarkan diri terhantuk baru tengadah. Sedarlah, pengaruh budaya barat dalam bidang sosial ini harus dianggap sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam sekaligus meruntuhkan kekuatan umat Islam.

Oleh itu, walaupun sudah bertunang, jangan anggap ia sebagai tiket untuk berdua-duaan dan menghalalkan segala bentuk perhubungan sebagaimana suami isteri. Pastikan jalinan hubungan cinta itu tidak melanggar hukum Allah dengan tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan, tidak mendedahkan aurat, tidak meninggalkan solat dan sebagainya. Jangan jadikan hubungan tersebut perkara yang melalaikan dan merugikan. Kita masih belum menjadi hak milik pasangan kita sepenuhnya. Jagalah maruah agama, diri dan keluarga. Jangan disebabkan racun dalam percintaan ini disangka baja dan mampu menyuburkan hubungan yang dibina berkekalan kerana setiap apa yang berlaku berbalik kepada ketentuan Allah.

Cinta yang suci dan terpelihara pasti akan membawa pasangan yang sudah bertunang ke gerbang perkahwinan sehingga kemanisannya dan kebahagiaannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ketika itulah fitrah menjadi anugerah.

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, March 29, 2011

...:: Tautan Hati ::....




Sinopsis :

Asiah Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.

Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun, halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.

Berputus asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki.

Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Walaupun sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga berpotensi untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.

Namun, berkat keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh membawanya ke jalan Allah s.w.t.

Tautan hati adalah sebuah novel yang mengisahkan tentang seorang muslimah atau ukhti yang berusaha untuk mendapatkan keredoaan ALLAH dalam setiap pergerakan dan perbuatannya di dunia ini..dia meletakkan ALLAH sebagai yang utama sebelum yang lain-lain..cinta yang kuat terhadap pencipta membuatkan dia melakukan apa sahaja dan berusaha menjauhi cinta yang melalaikan dirinya untuk bertaqwa kepada ALLAH..melalaikan diri dari merndapatkan cinta yang sejati iaitu cinta kepada penciptanya..Banyaknya ajara-ajaran secara tidak langsung yang boleh menginsafkan pembacanya..

Dapatkan novel Islam 'Tautan Hati' by Fatimah Syarha Mohd Noordin ini di pasaran sekarang!!cepat jangan terlambat..:)semoga bermnfaat untuk kita semua..


‎".. Bertemu cinta dalam halaqah , Hidup lebih indah terarah , Menyulam tautan hati kerana Allah , Terpaterilah ikatan akidah ..."



...:: Hormat Menghormati ::...


Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.(An-Nisa Surah ke 4: Ayat ke 86)

Hormat Menghormati

Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah "cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit".

Ini kerana makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya. Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia.

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا
"Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu". (An-Nisa Surah ke 4: Ayat ke 86)

......................................................................................................

~ semoga beroleh mnfaat bersama...dan dapat melakukan perubahan dlm diri demi Islam...~

..:: Memikat Hati Si Dia ::...


"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan Februari nanti. Harapnya, dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal saya menempuh bahtera rumah tangga nanti," seorang sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.

"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.

"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.

"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni, susah sikit untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima, sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.

Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.

"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.

"Saya nak membahagiakan isteri saya," jawab beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.

"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati awak. Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan produk.

"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.

"Pertama sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya 'aku terima nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, kucuplah matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat cintakan si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan juga terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menerima awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.

"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti," galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.

"Lepas tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti. Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan dan mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan satukan imaginasi korang berdua."

"Sekali sekala, adakan surprise untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih berharga."

"Satu lagi, nafkah. Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita. Jangan lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri awak ada kerjaya."

"Seterusnya, jangan lupa, bila awak terpaksa berpisah atau tinggalkan si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu sentiasa menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."

"Lebih penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya. Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang dalam masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.

"Jangan lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan kedekut untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."

"Huih, banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat ni," Azman semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan idea.

"Ye, ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata nanti, cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri dan separuh untuk anak-anak. So, jangan lupa untuk ungkapkan penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga selepas bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia untuk terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses melahirkan bayi. Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.

"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.

"Ok, resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak, hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 9 bulan mengandungkan anak-anak."

"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.

"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.

"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang berdegup, janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok saya jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.

"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.

"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya boleh sambung," nada suara saya mendatar.

"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.

"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.

"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.

"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.

"Belum," ringkas juga jawapan Azman.

"Kucupi dahi ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu yang berkorban 9 bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan bersabung nyawa melahirkan kita. Mengasihi kita tanpa sebarang syarat ataupun mahar mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita kucup sebelum kita kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa bulan."

"Pernah awak berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum, honeymoon dulu dengan ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk melihat bahagianya bulan madu kita bersama isteri dengan melupakan jasa ibu yang pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan kita. Bahagianya honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di desa sana."

"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu yang sepanjang hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum diungkapkan, segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri yang sudi menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima ucapan itu."

"Pernah surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum, surprisekan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga. Ibu itu pastinya sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."

"Sewaktu kita mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah dan belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah membesarkan kita tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang kita akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi ianya menjadi tanda yang kita juga masih mengingati malah menyayangi mereka."

"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu menatap potret awak yang digantung atau yang terselit di celah dompet. Hubungilah ibu awak sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak sampai kepada mak yang jauh di kampung."

"Man, kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu untuk memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati yang akan terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."

Gelak ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang kini berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.

"Saya tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi, saya yakin dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia. Ummat ini akan lebih berbahagia."

"Saya yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim (keluarga Islam) tidak akan sempurna tanpa sempurnanya Individu Muslim. Bagitulah juga, Masyarakat Muslim tidak akan lahir dari Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah yang awak lalui telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal lagi, Allah akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik. Adikku Azman, inilah jalannya."

"Go home and love your family."

Jawapan Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1979.

"Sebaik-baik kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku." - Hadis

Pastikan perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa. Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.

Mulailah dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung khilafah akan menaungi kita kelak.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." - Al-Quran

  • Hasan Husaini, Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan